Tuesday, September 04, 2007

‘Rasuah bukan legasi saya’

Oleh Mohamed Haniff Omar, Utusan Malaysia


SAYA terpanggil menjawab surat Baharuddin Idris di bawah tajuk, ‘‘Apa Sumbangan Tun Haniff Basmi Rasuah PDRM’’, (Utusan Malaysia 23 Ogos 2007) sungguhpun ini boleh dianggap mendabik dada sendiri yang mana tidaklah manis.

Saya difahamkan Baharuddin adalah salah seorang supritendan polis di Bukit Aman.

Rasuah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan-pasukan sebelumnya mungkin berlaku sejak awal penubuhanya sebab inilah hakikatnya apakala manusia diberi kuasa.

Lord Acton pernah menyatakan, dan ini sering diungkap Tun Abdul Razak iaitu ‘‘Power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely’’. Tidak semestinya kuasa mengkorupkan tetapi kuasa di tangan boleh mendorong seseorang petugas menyalahgunakannya. Justeru, dia mesti sentiasa berwaspada dan berpegang kepada sumpahnya sebagai pegawai polis, misalnya.
Ketuanya mestilah akur kemungkinan ini dan menyediakan sistem-sistem penyeliaan, siasatan dan pengukuhan iman yang sewajarnya.

Selama 15 tahun sebagai pegawai polis sebelum menjadi Ketua Polis Negara (KPN), saya pernah menyandang pangkat-pangkat bawahan – daripada asisten supritendan polis hingga ke Timbalan KPN. Dan rekod-rekod perkhidmatan saya yang mungkin masih ada di Bukit Aman boleh menunjukkan bahawa saya memerangi rasuah dalam PDRM sejak awal lagi dengan mengambil tindakan tatatertib dan sebagainya. Saya juga memimpin pasukan bola daerah polis, mengambil bahagian dalam pasukan hoki dan mengurus pasukan olahraga daerah. Sekali gus saya bergaul dengan anak-anak buah saya. Di Melaka Tengah, Mentakab, Bentong dan Ipoh, saya menjadi jurulatih DRU (District Riot Unit). Di Ipoh juga saya menjadi jurulatih menembak dan tempur tanpa senjata menggunakan ilmu yang saya timba di FBI National Academy.

Oleh demikian semasa on the ground, saya menggunakan peluang itu untuk mengasuh anak-anak buah saya dengan nasihat-nasihat bernas supaya disiplin tidak menjadi sehaluan sahaja.


Mengakibatkan

Sebagai ASP, saya pernah melaporkan kepada ketua atasan maklumat mengenai amalan rasuah seorang ketua polis negeri. Tun Mohd Salleh Ismail, ketika itu Pesuruhjaya Polis Malaya, telah menjalankan siasatan dan bertindak terhadap ketua itu. Protes saya dan seorang lagi pegawai mengenai apa yang dilihat sebagai ketidakamanahan melibatkan orang atasan mengakibatkan kedua- duanya kami ditukar. Sebab itu saya menjadi Ketua Polis Daerah Ipoh pada tahun 1967.

Di Ipoh, saya bertindak cergas terhadap amalan rasuah sesetengah anggota saya. Saya sering menjalankan pemeriksaan dan mengenakan tindakan kepada yang disabit. Saya mewujudkan rangkaian ‘‘rakan cop’’ di kalangan guru sekolah-seolah dan pekerja kedai-kedai yang terletak berhampiran bit dan konferens point polis supaya mereka memerhatikan cara-cara anak-anak buah saya bekerja. Dengan itu banyaklah maklumat saya terima mengenai baik buruk cara orang-orang saya bertugas supaya dapat diberi pujian, nasihat atau diambil tindakan sewajarnya.

Saya mungkin lebih tegas daripada sesetengah pegawai lain sebab KPN meminta Supritendan Pengurusan, Sockalingam, menyampaikan kepada saya pemerhatiannya bahawa saya agak keras sedikit terhadap penyakit ini. Saya tidaklah menganggap teguran itu sebagai satu pujian, namun saya menjawab bahawa saya berhasrat memaparnya di dinding pejabat saya. Surat-surat ini mungkin masih ada dalam rekod perkhidmatan saya. Sebaliknya, Ketua Cawangan Jenayah Khas (pelopor BPR) Ipoh, Tawfik menyanjungi segala usaha saya yang mana, katanya, memudahkan lagi tugasnya. Ini disampaikan secara lisan dan tidak mungkin terdapat dalam mana-mana fail. Ketegasan saya nescaya menegah sebilangan anggota yang kurang iman daripada melakukan jenayah ini dan menggadai masa depan dan keluarga mereka.

Saya juga dibantu oleh rakan-rakan menjaga kebajikan anggota-anggota kami dan keluarga mereka. Semasa di Ipoh kami membuat kutipan wang tiap-tiap tahun dengan cara menjual masakan, jahitan dan kraf tangan anggota-anggota dan keluarga mereka. Hasil keuntungannya dicukai sedikit untuk tabung kelab yang menyalurkan biasiswa dan bantuan persekolahan kepada anak-anak anggota dan bantuan kepada pesakit-pesakit polis, balu-balu juga isteri-isteri yang terpaksa balik ke kampung disebabkan suami dibuang kerja. Saya sangat terharu apakala Datuk Annuar Zaini, Pengerusi Bernama, mengenalkan dirinya sebagai salah seorang anak polis yang menerima bantuan ini.

Sebagai Ketua Cawangan Khas Selangor, saya bertindak terhadap maklumat yang mengaitkan pegawai-pegawai atasan saya. Ini mungkin masih ada dalam rekod saya di Kuala Lumpur, Selangor dan Bukit Aman. Akibatnya saya ditukar sekali lagi ke Melaka pada 1970. Sebab itulah apakala diperintah bertukar sebagai Ketua Polis Selangor pada hujung 1971, saya menolaknya sebanyak dua kali sehingga Perdana Menteri, Tun Abdul Razak panggil saya ke Seri Peringgit, Melaka dan di hadapan Tun Rahah menanya mengapa saya melarikan diri daripada tugas yang lebih mencabar. Setelah mendengar kata dua saya, saya percaya beliau telah menyampaikannya kepada Ketua Polis Negara yang memanggil saya dan memberi janji bahawa pegawai-pegawai di Bukit Aman yang lebih kanan daripada saya tidak akan menganggu saya dalam menjalankan tugas. Kemudian barulah saya berpindah ke Kuala Lumpur. Ini mestilah ada tercatit di Bukit Aman.

Apakala mengambil alih teraju PDRM, saya mewujudkan Urus Setia Tatatertib buat pertama kalinya yang terletak di bawah KPN sendiri, justeru bebas daripada tekanan pegawai-pegawai atasan. Tindakan tatatertib meliputi 20,000 warga polis dari konstabel hingga ke ketua polis daerah, ketua cawangan jenayah, ketua polis negeri dan pengarah, dan bukan pangkat rendah sahaja. Ia meliputi beberapa orang yang rapat dengan saya, sehingga mendorong Tun Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis beratnya mengapakah hanya pasukan polis sahaja yang sanggup mendisiplinkan pegawai- pegawainya? Tan Sri Aseh Che Mat, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri masa kini ialah Penolong Setiausaha Suruhanjaya tersebut ketika itu.

Urus Setia Tatatertib ini di peringkat KPN sangat penting tapi sayangnya ia dibubar sebaik saja saya bersara dan sekali gus memberi isyarat bahawa soal disiplin dan integriti tidak lagi mendapat keutamaan. Kaedah tatatertib yang dinamakan ‘‘Orderly Room Procedure’’ telah dimansuh di atas permintaan PDRM sendiri beberapa tahun dulu. Kesan buruknya terhadap disiplin polis diakui pegawai-pegawai kanan jua kepada saya. Apakah ini salah saya?

Apakah asal usul-bank simpanan pos di Pusat Latihan Polis (Pulapol) itu? Saya dan Komandan Pulapol, Datuk Zulkifli Ali, telah menegah staf Pulapol memaksa rekrut-rekrut membeli barang-barang tambahan daripada mereka. Sebaliknya saya memaksa rekrut-rekrut berjimat cermat dan mengumpul dana sekurang- kurangnya secukup sebulan gaji untuk menampung keperluan mereka apabila diturunkan ke posting pertama masing- masing kelak. Ini dengan harapan mereka tidak memulakan perkhidmatan dengan berhutang dan tekanan kewangan yang boleh mendorong mereka mencari rezeki haram. Tak tahulah sama ada amalan ini dipraktikkan lagi. Kalau tidak, adakah ini salah saya dan Zulkifli yang telah bersara 14 tahun atau 15 tahun masing-masingnya?

Apakah sesetengah legasi saya? Demi kebajikan anggota, saya dan pegawai- pegawai turus saya telah memperolehi persetujuan kementerian dan agensi pusat untuk menggantikan rumah kelamin anggota pangkat rendah kepada tiga bilik tidur. Tatkala saya masuk PDRM, berek mempunyai satu bilik tidur. Tun Salleh menambahkannya kepada dua bilik. Itu sangat besar maknanya.

Sejurus selepas menandatangani perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya (PKM) saya mengarahkan Tan Sri Rahim Noor supaya mengurangkan pembelian alat-alat perang dan menumpukan bajet kepada perumahan anggota dan balai-balai baru. Kalau pegawai kanan polis dulu mempunyai sebuah banglo empat bilik di Port Dickson untuk rumah peranginan, saya telah menambahnya menjadi berpuluh-puluh bilik di Port Dickson dan Langkawi. Ada juga yang terbuka kepada anggota bawahan yang telah siap selepas saya bersara. Kalau ada anggota yang dapat kemudahan dialisis di klinik polis, ini pun legasi saya seperti juga skim insurans berkelompok yang banyak membantu anggota dan keluarga yang kemalangan.

Sumbangan

Kalau lebih ramai anggota pangkat rendah dapat bantuan gigi palsu, cermin mata dan ubat-ubatan yang tidak dibekalkan oleh hospital, ini mungkin sebab dasar jimat cermat dan tidak boros saya menggunakan Tabung Wang Polis untuk merai tetamu-tetamu kehormat sehingga tabung berjaya mengumpul RM8 juta dalam tempoh 20 tahun di bawah saya tanpa sumbangan special services payment. Dan dengan kebenaran Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kewangan, saya menyalurkan RM750,000 kepada Persatuan Bekas-Bekas Polis Malaysia dan RM250, 000 kepada RESPA untuk kebajikan ahli-ahli bersara PDRM sebelum saya meninggalkan PDRM.
Apakah Maktab Rendah Sains Mara Polis tidak dihargai oleh anda dan warga polis masa kini? Itu pun legasi saya dengan sokongan padu Tun Ghazali Shafie, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Pengurusan PDRM dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada masa itu.

Di zaman Konfrontasi, KPN Tan Sri Claude Fenner telah menghantar kuih- muih kepada pasukan Polis Hutan dari Semenanjung yang bertugas di Sarawak menjelang tiap-tiap Hari Raya. Amalan ini dihentikan selepas tamatnya Konfrontasi pada 1966. Saya mengembalikannya mulai 1974 dan panjangkan manfaatnya kepada semua anggota yang bertugas pada Hari Raya. Tidakkah amalan ini diteruskan lagi sehingga tidak dikenangkan anda juga ataupun anda ingat lain ketua yang mengembalikan amalan ini?

Saya ingat banyak lagi yang boleh dihuraikan tapi memadai saya sebutkan PZ, kapal terbang dan helikopter, C3I, sistem komputer, persamaan gaji untuk anggota-anggota wanita yang dijuangkan dengan begitu tekun oleh Datuk Zakiah Laidin dengan sokongan padu kami semua, dan keistimewaan pasukan dalam skim gaji Suruhanjaya Mahathir di mana pasukan diletak mengatasi semua jabatan dan perkhidmatan kerajaan kecuali tentera.

Tahukah Baharuddin Idris keadaan zaman yang saya lalui? Negara tidak semewah sekarang ini. Pada tahun 1974, tiap-tiap jabatan kerajaan dikehendaki mengitar semula sampul-sampul surat dan kertas-kertas ‘‘taiping’’ terpakai dan mengambil lain-lain langkah berjimat cermat? Perdana Menteri Tun Abdul Razak inginkan kolam renang untuk Seri Taman yang kawannya menganggarkan boleh dibina dengan kos hanya RM56,000 tapi itupun difikirkan di luar kemampuan kerajaan. Apabila Tan Sri Abdul Rahman Hashim dibunuh oleh pengganas PKM pada Jun 1974, Perdana Menteri mengarahkan pembelian empat buah kereta saloon Mercedes berperisai untuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Ketua Turus Angkatan Tentera dan KPN. Enam bulan kemudiannya beliau meminta maaf kerana kerajaan hanya berkemampuan membeli dua buah sahaja.

Selain itu sepanjang perkhidmatan saya, pegawai dihantar atau dibenarkan mengambil kursus ijazah, diploma dan profesional sehingga ke luar negara. Ini termasuklah ke Wolfson College, Universiti Cambridge, dengan ihsan Tunku Ahmad Yahaya dan Sime Darby. Sebelum itu mereka terpaksa berhenti kerja. Latihan di maktab polis dipertingkatkan sejajar dengan perkembangan zaman.

Diploma Sains Polis, siasatan secara forensik dan Kajian Strategik dengan bantuan universiti tempatan diperkenalkan. Buku Manusia dan Islam gubahan tokoh-tokoh terkenal Islam, Ghazalba dan Datuk Dr. Harun Din, diperkenalkan. Begitu masyhur pasukan sehingga mendorong 14 buah negeri menghantar pegawai-pegawainya menyertai kursus di Maktab PDRM – kini mungkin lebih – dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pertama kalinya meminta bantuan PDRM dalam misi pengamannya. Kecekapan seorang Inspektor polis PDRM begitu dihargai PBB sehingga dia terpilih menjadi peninjau pertama PBB dihantar ke Bosnia. Tidakkah semua ini menaikkan darjat dan maruah pasukan dan mempelopori penugasan antarabangsa PDRM masa kini?
Masalah

Pada tahun 1980, kerajaan sekali lagi mengalami kesempitan wang dan Menteri Kewangan, Tunku Razaleigh Hamzah, dalam perjumpaannya dengan ketua-ketua jabatan mengumumkan bahawa kerajaan terdesak dengan masalah tersebut, justeru terpaksa membeku bajet pembangunan PDRM, penjara dan beberapa jabatan lagi kepada zero bajet. Sungguhpun dia berjanji bahawa pembekuan ini ialah untuk sementara sahaja namun ia berpanjangan beberapa tahun. Sebab itu sebaik saja kita meterai perjanjian damai dengan PKM, saya mengarahkan Tan Sri Rahim Noor, timbalan saya ketika itu menjalankan program pembangunan khas demi kesejahteraan anggota. Dasar saya tetap menghargai anggota saya tapi tidak melampaui kepentingan rakyat. Kami dulu berpegang kepada ikrar untuk berkhidmat demi rakyat.

Saya tidak menyatakan 40 peratus pegawai polis terlibat dengan rasuah. Bacalah rencana saya dalam Sunday Star 12 Ogos dengan tepat. Saya menyatakan bahawa seorang pegawai kanan BPR telah mendedahkan kepada saya dan seorang lagi pesara kanan polis bahawa 40 peratus pegawai ‘kanan’ polis boleh ditangkap tanpa perlunya siasatan lagi, semata-mata berdasarkan cara hidup mereka. Betul atau tidak hanya BPR yang tahu. Sebab apa pegawai BPR itu hendak membohong kepada kami?

Rasuah bukan legasi saya; pegawai bertelagah bukan legasi saya; ketidakcekapan pasukan bukan legasi saya. Apa maknanya 20,000 anggota dan pegawai yang diambil tindakan oleh Urus Setia Tatatertib itu? Dan saya tak pernah menikam PDRM dari depan lebih-lebih lagi dari belakang. PDRM, kalau berpegang kepada sumpahnya menjalankan satu perkhidmatan yang begitu mulia di sisi rakyat. Saya hanya menikam amalan rasuah dan ketidakjujuran bekerja, di mana-mana sahaja dan nescayalah dari depan. Saya sedia bersemuka untuk membincang perkara ini lebih mendalam lagi demi kebaikan pasukan yang dicintai dan kesejahteraan rakyat dan bagi mendorong saudara bertindak terhadap rasuah dalam pasukan memandangkan saudara masih berkuasa’’.

* ARTIKEL di atas adalah penjelasan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Haniff Omar terhadap surat pembaca di ruangan Forum Utusan Malaysia pada 23 Ogos 2007.

No comments: