Monday, September 10, 2007

KENYATAAN MEDIA GERAK - 10-09-2007


Sejajar dengan Slogan Gerakan Demokrasi & Anti Korupsi (GERAK) iaitu RASUAH MUSUH NO 1 NEGARA; sekali lagi GERAK menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan BPR dalam proses penyiasatan ke atas aduan penyelewengan Majlis Sukan Negara.

GERAK akan terus membantu dan mendorong Cik Yap Yee Yin atau sesiapa yang mempunyai maklumat korupsi atau sebarang tingkah-laku yang melanggari Perkara 2 Tafsiran “SUAPAN” berani tampil ke depan membuat pendedahan membantu negara mencapai korupsi sifar.

Justeru itu, GERAK akan mengambil langkah proaktif memantau perjalanan proses penyiasatan aduan Kementerian Belia & Sukan sentiasa tegas, telus dan adil mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575).


Lantaran itu, kami berharap usaha GERAK patut dihargai oleh agensi penguatkuasa kerajaan. Sebarang tanggapan negatif terhadap GERAK wajar dikikis sama sekali. GERAK akan terus berpegang kepada prinsip undang-undang di mana sebarang penyelewengan atau korupsi wajib diharamkan sepenuhnya tanpa tolak-ansur.

Sekali lagi GERAK menyeru BPR menjalankan penyiasatan yang menyeluruh ke atas operasi Majlis Sukan Negara; ia bukan hanya terhad kepada pembayaran elaun jurulatih, sebaliknya juga meliputi proses pembelian peralatan sukan dan perbelanjaan Dana Awam lain yang diamanahkan kepada Majlis Sukan Negara.

GERAK menyokong usaha Menteri Belia dan Sukan mengambil inisiatif melaporkan perkara ini kepada BPR. Maka, sekiranya rumusan siasatan menemui unsur-unsur penyelewengan, tindakan tegas wajib dikenakan kepada sesiapa yang terlibat, tanpa mengira pangkat atau status masyarakat.



Tindakan juga wajar dikenakan ke atas sesiapa yang bersubahat atau melanggar Perkara 17, Akta Pencegahan Rasuah 1997 [Kewajipan Untuk Melaporkan Transaksi Penyogokan].

Demi menyahut hasrat Menteri dan menghargai sumbangan Cik Yap kepada sukan negara, Gerak menyeru Lembaga Pengurus MSN dan Persatuan Gimnastik Malaysia memberikan sokongan padu kepada Cik Yap. Demi memelihara Piagam MSN, penyiasatan ini perlu disegerakan dan memberikan maklumbalas kepada Cik Yap demi kepentingan inudstri sukan negara.

“RASUAH MUSUH NO 1 NEGARA”

Ghani Haroon
Pengarah Program

No comments: