Saya dibesarkan dengan pendidikan rendah dan menengah di negeri jelapang padi. Kami berjiran serta berkawan dengan budak-budak pelbagai keturunan; termasuk Melayu, Cina, India dan Siam. Secara umumnya, kami bebas bergaul di antara satu sama lain tanpa apa prasangka satu sama lain.
Masih jelas dalam ingatan, ibu saya sentiasa memetik buah jambu tanaman kami kepada kawan-kawan Melayu sewaktu beliau menunggu bas ke pekan beli barangan harian. Sungguhpun dengan bahasa pasar, ibu saya berkeupayaan berkomunikasi dengan kawan sekampung atau kampung jiran sambil ketawa. Umpamanya, ’ini hali gua pi pokkan bayak hangat lah ......(hari ini saya pergi ke pekan cuaca amat panas); kuat hujang jalan pun bayak ayak....(hujan lebat jalan diliputi banyak air)’.
Beginilah suasana keriangan orang kampong hidup dalam keadaan yang aman, damai dan sentosa. Kami saling bantu-membantu, ziarah-menziarahi walaupun tidak ada jamuan juadah rumah terbuka mewah seperti orang bandar sekarang. Kuih-muih buatan sendiri kami tukar-menukar setiap musim perayaan. Silaturahim cukup baik, bersama main guli, gasing, laying-layang dan sebagainya. Tidak pernah kami tuduh-menuduh orang Melayu malas, orang Cina niaga tipu, orang India kurang jujur dan lain-lain lagi seperti cakap spekulator orang politik.
Orang kampung tanpa gangguan orang politik, menghasut demi kepentingan diri, merebut-rebut ingin jadi jaguh sambil menuduh orang lain; pada hal sebenarnya golongan segelintir ini mempunyai kepentingan politik sendiri dengan harapan untuk menang dalam pilihanraya parti nanti. Semuanya hidup dengan selesa.
Lantaran itu, sesungguhnya saya telah berpindah ke Kuala Lumpur melebihi satu setengah dekad, namun saya peribadi masih lebih menghayati kehidupan kampong. Saya rasa budak-budak bandar sekarang tidak lagi berpeluang menikmati kehormonian ini.
Prihatin orang kampong bukan takat lepaskan batuk ditangga ataupun selamba semata-mata. Kami ziarahi jiran yang sakit, yang jatuh, kelahiran bayi kecil, kongsi makanan; malahan kadang-kala berapa ekor ayam kampung pun diambil tahu.
Ekoran dariada permaufakatan ini, keseluruhannya suasana kampung hidup aman, selamat, tidak ada pencuri walaupun pintu rumah tidak ditutup / kunci. Kami kerap-kali bertukar-tukar maklumat dengan tulus dan ikhlas. Sekiranya ada sebarangan kejadian, pantas kami dapat tahu cerita pangkal-hujungnya.
tas dasar inilah, orang kampung berkeupayaan untuk saling bantu-membantu, tidak ada pra-sangka, percayan antara satu sama lain.
Melihat suasana bandaraya sekarang, semangat Rukun Tetangga agar luput, kerajaan pun nampaknya agar lembab pada dekad yang lalu.
Banyak kejadian berlaku, orang bandar kurang memperolehi maklumat yang sahih seperti di kampung. Ekoran daripada itu, khabar angin sering menjadi asas mengejar maklumat terkini.
Kita lihat sahaja kejadian yang terdekat di Ipoh, telah saya sebut perlukan kajian sebab orang bandar percayakan sebaran sms. Lumrahnya teka-teki sudah menjadi amalan budaya hidup orang bandar.
Merenung juga runggutan seorang saudagar tidak tahu sebab Biro Pengaduan Rasuah berat tulang untuk memulakan siasatan ke atas laporannya terhadap seorang Timbalan Menteri. Sekali lgai, kita teka, apakah sebabnya menyebabkan BPR lambat / enggan menyiasat? Adakah kerana pengadu tidak berpangkat tinggi? Ataupun kerana pihak diadu terlalu tinggi pangkatnya?
Juga ada pemimpin yang menyebut merobohkan bangunan haram perlu mengambil-kira kesan politik. Bertaka lagi, mungkinkah kerana tuan rumah mempunyai pengaruh politik yang luar biasa? Adakah ini boleh menjadi satu logik untuk mengesahkan pembinaan tersebut? Adakah pihak berkuasa akan memberikan layanan yang sama kepada orang awam? Kenapa gerai bersebalahan diruntuhkan tapi rumah satay sebelah tidak disentuh?
Kalau kita pandang balik kejadian 1998, ramai orang merasa hairan kerana kerajaan telah mengambil satu jalan luar biasa membongkarkan salah-laku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu. Tuduhannya disiarkan dalam media cetak dan pandang-dengar sebelum kes itu dibawa ke mahkamah, tia ermasuk affidavit tuduhan sebelum diserah kepada mahkamah.
Dukacitanya, selapas 8 tahun berlalu, terbukti sesiapa yang percayakan tuduhan itu sudah tertipu oleh pihak konspirator. Ini kerana minggu ini pihak Pendakwaraya / Kerajaan sendiri mengaku mereka tidak ada bukti yang memcukupi untuk meneruskan tuduhan ke atas salah seorang yang pernah dipenjarakan kerana sudi diliwat.
Semua aliran bahasa akhbar dua-tiga hari sibuk menyiarkan liputan panjang-lebar tentang pembunuhan seorang wanita warga Mongolia sambil diletupkan mayatnya (saya tak tahu samada dia diletupkan secara hidup-hidup atau selepas dibunuh). Ini kes pertama yang menggunakan cara letupan cuba untuk mengluputkan bukti-bukti jenayah dengan melibatkan anggota keselamatan beruniform.
Oleh kerana latar belakang saya dibesarkan dalam budaya kampung yang tulus & terbuka. Hari ini, tanpa alternatif lain saya terpaksa berteka-teki siapakah pembunuh itu? Siapa itu analisa politik yang terkenal? Penasihat kepada siapa? Menteri kah? Taukah besar kah? Kumpulan manakah?
Memang saya akui kadang-kala, pendedahan awal boleh mengganggu siasatan polis untuk mengumpul maklumat tuduhan. Tangan saya masih mengali rambut, banyak tanda tanya wujud dalam teka-teki saya:
Setelah dituduh sambil mendapat perintah tahanan oleh Majistrat, namanya dirahsiakan atas sebab apa? Saya hairan kejadian 1998 tuduhan dan nama tertuduh boleh didedahkan sebelum dibawa ke mahkamah, kenapa sekarang berbeza?
Siapakah yang dituduh / disyaki? Kepada siapakah pembunuh itu menjadi Penasihat?
Barangkali kita perlu memikirkan samada memaksa rakyat berteka-teki siapa itu lebih menguntungkan masyarakat dan keadilan; ataupun buat pengumuman awal?
Adakah adil terhadap orang yang disyaki oleh kami (jawapan dari teka-teki) sekiranya kita salah sangka?
Adakah budaya teka-teki itu telah menggugat semangat kejiranan di bandar sekarang? (Kerana masyarakat tidak berani menyuarakan jawapan masing-masing bimbangkan jawapannya salah)
Sebagai seorang warga kota, apa yang boleh kita lakukan meperbaiki semangat kejiranan?
Secara perbandingan, saya lebih cenderung kepada budaya hidup dikampung dibandingkan dengan suasana dibandar tersebut di atas. Barangkali, saya kurang handal dalam pertandingan teka-teki.
Apakah pendapat saudara/i budiman, anda lebih suka budaya kampung atau pun bandar?
Jom, mai lah beramai-ramai kita berkongsi pendapat dalam soal ini demi mencari kebenaran dan keadilan untuk masyarakat umum.
No comments:
Post a Comment