Monday, December 17, 2007

Ganggu Penyanyi NEGARAKU - Jenayah

Lagu Kebangsaan mana-mana negara membayangkan kedaulatan, kewibawaan dan keutuhan sesebuah negara. Ia termasuk Malaysia, lagu NEGARAKU adalah sebuah lagu kebangsaan yang WAJIB DIHORMATI oleh semua rakyat, khasnya keanggotaan kerajaan.

Isu lagu kebangsaan telah menjadi bula-mulut yang amat panas apabila majoriti anggota Kabinet mengutuk Wee Meng Chee yang berada di Taiwan dikatakan sebagai penderhaka negara, hingga ada cadangan untuk MERAMPAS kewarganegaraannya. Di antara berita yang berkaitan termasuklah: http://www.kpmu.net/modules.php?name=News&file=print&sid=584 dan http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=4722.

Oleh itu, saya dapat membayangkan ia juga merupakan satu kesalahan jenayah kepada sesiapa yang mengganggu penyanyi lagu Negaraku. Ia jelas termaktub dalam Perkara 8 Akta Lagu Kebangsaan sepertimana yang di laporan di bawah.

Sumber: http://utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0820&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_07.htm&arc=hive.

Jangan mudah memaafkan - Pendapat
AKTA Lagu Kebangsaan 1968 (Akta 390) telah diluluskan sejak tahun 1968 oleh Parlimen Malaysia dan melalui proses semakan pada tahun 1989. Akta ini diwujudkan bagi menjaga kredibiliti, prestij, kewibawaan dan maruah lagu Negaraku yang merupakan satu-satunya lagu kebangsaan negara.

Lagu Negaraku yang dikatakan berasal dari lagu Terang Bulan iaitu lagu rasmi negeri Perak, mula dinyanyikan sejak tahun 1901 lagi ketika pertabalan Raja Edward VII di England, adalah manifestasi inspirasi lambang atau simbol perpaduan dan penyatuan masyarakat plural di negara kita. Tindakan menghina, mempersenda, mengeji, mencemar, mencampur-aduk, mengubah rentak atau lirik dan sebagainya secara sedar ataupun tidak dalam apa jua keadaan adalah dilarang dan pelaku kesalahan tersebut boleh ditangkap serta didakwa di mahkamah untuk diadili sewajarnya.

Sejak kewujudan akta berkenaan, kita jarang mendengar insiden-insiden menghina dan mempersenda lagu kebangsaan sehinggalah pendedahan kes melibatkan seorang warganegara Malaysia sendiri iaitu Wee Meng Chee. Beliau yang merupakan pelajar di sebuah universiti luar negara tanpa segan-silu dan rasa bersalah bertindak melakukan perkara terkutuk sedemikian.

Beliau yang turut dikenali sebagai Namewee telah mencipta satu klip video yang memperlekehkan lagu kebangsaan dengan memberi nafas baru Negarakuku di laman web YouTube. Lagu berkenaan telah secara jelas menghina kerajaan Malaysia, orang Melayu, pasukan polis, agama Islam dan sebagainya. Impaknya lagu tersebut telah ditonton oleh hampir 500,000 pengunjung laman Internet di seluruh dunia.

Walaupun beliau dikatakan telah insaf dan memohon maaf secara terbuka kepada negara, namun ia tetap kesalahan dan undang-undang yang ada perlu dilaksanakan sebagai pengajaran kepada semua rakyat Malaysia. Kesalahan beliau adalah serius dan tidak boleh dimaafkan di sisi undang-undang negara.

Mencintai

Menurut Seksyen 8 (1) Akta Lagu Kebangsaan 1968, rakyat Malaysia hendaklah menunjukkan rasa hormat, sayang dan mencintai lagu kebangsaan dan dikehendaki berdiri apabila lagu Negaraku dinyanyikan pada bila-bila masa dan di mana jua.

Seksyen 8 (2) pula menegaskan bentuk hukuman kepada sesiapa yang ingkar dan tidak menunjukkan rasa hormat kepada lagu Negaraku, di mana seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak melebihi satu (1) bulan sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah. Lebih menarik lagi Seksyen 9 akta berkenaan memberi kuasa penuh kepada polis untuk menangkap sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 akta berkenaan tanpa sebarang waran.

Walaupun bentuk hukuman dan denda di bawah akta tersebut amat ringan dan tidak menjadi masalah kepada pelaku kesalahan untuk melunaskannya, namun ini bukan lesen besar untuk seseorang itu bertindak menghina dan mempersendakan lagu kebangsaan negara kita. Mungkin akta tersebut perlu dipinda sewajarnya agar bentuk hukuman dan denda yang lebih berat dan menakutkan dikenakan sebagai alternatif menghalang tindakan menghina lagu Negaraku berleluasa dan dipandang mudah oleh sesetengah orang.

Tambahan pula negara sedang berdepan dengan kecanggihan global ICT dan serangan Internet yang membolehkan sesiapa sahaja tanpa halangan merosak, mencemar, menjejaskan imej dan integriti lagu kebangsaan negara kita di mana-mana saja dan pada bila-bila masa.

Oleh itu, semangat cinta, sayang dan hormat kepada lagu kebangsaan adalah penting umpama kasih dan mempertahankan negara. Ini perlu dipupuk sejak kecil agar kita tidak melahirkan seorang lagi Meng Chee di negara kita.

– Mohamad Sofee Razak.


Sepertimana saya nyatakan dalam karangan sebelum ini, mungkin ada pemimpin dan wakil rakyat yang masih kurang fasih dengannya, berikut adalah lirik penuh:

NEGARAKU (LIRIK)
NEGARAKU
TANAH TUMPAHNYA DARAHKU
RAKYAT HIDUP BERSATU DAN MAJU
RAHMAT BAHAGIA TUHAN KURNIAKAN
RAJA KITA SELAMAT BERTAKHTA
RAHMAT BAHAGIA TUHAN KURNIAKAN
RAJA KITA SELAMAT BERTAKHTA

Kepada semua warganegara harus sentiasa sedar dan ingat, bahawa menggangu penyanyai lagu buka sahaja tidak hormat kepada negara; malahan ia sepatutnya lebih berat daripada peruntuk Perkara 8(1) yang disebutkan di atas.

Dengan itu, janganlah cuba mencabar undang-undang untuk menegakkan badan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa, sebagai penghormatan kepada negara yang dicintai kita bernama Malaysia.

No comments: