Saturday, December 08, 2007

Berapa Calon PKR Yang Siap Sedia?

Memang menjadi impian pembangkang untuk berdepan dengan BN dengan rumusan 1 lawan 1 pada pilihanraya ke-12 yang dijangkakan tiba dalam beberapa bulan akan datang.

Namun kita perlu menerima hakikat sambil bertanya diri: sejauhmanakah kenyataan dan impian ini benar-benar menggugat kedudukan BN? Ia hanya terhenti pada tahap ucapan? Boleh menambah beberapa kerusi di Parlimen dan DUN sahaja? Boleh pecahkan kawalan 2/3 majoriti? Boleh menggantikan pemerintah yang sedia ada?


Tepuk dada tanya selera parti masing-masing, khasnya pembangkang sejauhmanakah persediaan parti dan bakal-bakal calon-calon menyahut pilihanraya ke-12?

Sekiranya benar jangkaan pemimpin politik bahawa pilihanraya ke-12 akan tiba dalam tempoh 3 bulan, maka kajian persedian yang paling asas seperti:

A. Adakah manifesto pembangkang menjelaskan APAKAH PEMBAHARUAN yang akan diketengahkan jika mereka diberikan mandat baru?

Ini amat penting kerana setakat hari ini, rakyat masih hanya kadar mendengar kata-kata kritikan pembangkang atas dasar-dasar BN. Sewajarnya pembangkang menggariskan secara perbandingan dasar dan haluan parti pembangkang.

Umpamanya, pembangkan sibuk kritik kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Pilihanraya dan Akta Polis. Bolehkah pembangkang mendokumenkan janji mereka dengan jelas seperti:

i. peruntukan mana yang akan dipindah atau dimansuhkan dengan sebab mereka berbuat demikian.

ii. bilakah mereka akan melakukan janji-janji manifesto mereka? 1 tahun? 2 tahun? 5 tahun?

iii. apakah komitmen mereka jika pembangkang gagal melaksanakan janji-janji ini? Dalam ertikata lain, pembangkang wajib menunjukkan keikhlasan dan tekad mereka memenuhi janji-janji ini. Yang pasti, ada pihak yang akan tanya (contohnya): jika PKR memperjuangkan Information Freedom Act dan pilihanraya Kerajaan Tempatan; kenapakah kerajaan negeri Kelantan yang diterajui oleh rakan karibnya tidak melaksanakannya dengan praktikal sebagai satu teladan kepada BN serta menambah keyakinan rakyat?

Sepatutnya manifesto ini merupakan satu kertas kerja pembaharuan pemrintahan kerajaan baru yang mampu menyakinkan mengundi, bahawasahnya pembangkang patut diberikan sekali peluang untuk membuktikan kemampuannya.

B. Sejauhmanakah pembangkang akan mempamerkan satu barisan calon yang berkebolehan, berkelayakan dan diterima oleh segenap lapisan ahli dan penyokong parti.

Dalam perkara ini, sehingga hari ini, adakah pembangkang sudah mulai @ siap melengkapkan barisan dalaman? Siapakah wakil yang disenaraikan sebagai bakal calon ?

Alasan bahawa rundingan antara parti pembangkang belum selesai, maka parti tidak sesuai untuk berbuat demikian hanyalah asalan dolak-dalih. Bukan semua kawasan bertindih dalam rungan peragihan. Di Selangor sendiri ada DUN yang berebut-rebut antara 3 kumpulan dari parti yang sama. Adakah pemimpin atas sedar akan kesan sampingan buruk kemudian? Kenapa pemimpin atasan berpeluk-tubuh enggan adakan penyelarasan?

Apakah gelombang yang sudah @ sedang @ bakal dijana untuk memperkukuhkan pengaruh pembangkang @ parti anda?

C. Sejauhmanakan persediaan jentera parti bersiap sedia? Adakah Jawatankuasa Negeri berfungsi? Bermesyuarat? Cukup korum? Adakah Jawatankuasa Bahagian dan Cawangan benar wujud atau hanya atas kertas sahaja?

Jika Jawatankusa Negeri pasif, bersikap endah-tak-endah, acuh-tak-acuh; bagaimanakah rakyat akan boleh mempercayai mereka? Adakah komunikasi dalaman parti berjalan lancar? Maklumat dan strategi parti diterjemahkan dalam plan tindakan tempatan?

Sebaliknya jika kepimpinan parti hanya duduk dalam bilik mesyuarat sebulan sekali, tidak turun padang dan mengharapkan durian jatuh; nasibnya tidak akan jauh berbeza dengan 2004 nanti.

Begitu juga dengan proses penentuan calon, adakah pemimpin bawahan diberikan ruang bersuara atau parti tegas akan menghantar 'calon terjun' tanpa memhiraukan perasaan pemimpin tempatan? Atau peluang diberikan keutamaan kepada pemimpin tempatan yang "layak"?

Tidak kurang penting juga, proses rundingan peragihan kerusi antara pembangkang wujud banyak kelemahan. Cara sekarang nampaknya antara parti hanya duduk untuk agihan kerusi; BUKAN BICARAKAN CARA KERJASAMA DAN PRINSIP-PRINSIP RAKAN yang dijadikan pedoman pakatan.

Bincangan agihan kerusi tiada bezanya dengan rundingan AGIHAN KEPENTINGAN tanpa prinsip kerjasama. Contohnya, antara 2 prinsip yang terutama mungkin diabaikan oleh pembangkang:

* perkongsian kuasa @ kerjasama pembangkang patut dinampakkan menyeluruh; dimana di setiap kawasan Parlimen dan DUN di bawahnya patut dikongsi bersama. Seboleh-bolehnya, jangan mana-mana parti monopoli kawasan Parlimen serta semua DUN di bawahnya. Memang saya akui, terdapat kawasan yang tidak dapat tidak berlaku, namun ia tidak patut digalakkan.

* persefahaman bahawa pemilikan mana-mana kawasan oleh mana-mana parti politik bukanlah hak mutlaknya pada masa akan datang, apabila perolehan undinya kurang daripada 20% (contohnya) daripada jumlah undi di keluarkan. Dengan cara ini, pasti akan lebih memberangsangkan parti yang mewakili kawasan itu lebih aktif agak ia tidak luput milikan pada pilihanraya akan datang.


D. Sikap bakal calon juga memainkan peranan tidak kurang pentingnya. Satu kenyataan pada hari ini, ramai bakal-bakal calon masih bermimpi, tidak bergerak untuk bekerja walaupun "kerja persediaan yang tidak melibatkan wang". Mereka selalu beralasan bahawa, parti belum putus calon lagi, maka sukar untuk berkerja.

Jika calon mempunyai sikap sedemikian, adalah lebih baik parti ketepikan namanya kerana sikap ini akan lebih melemahkan petugas sukarelawan. Jika semua orang HANYA BEKERJA selepas pengesahan menjadi calon, maka PETUGAS YANG MEMANG TIDAK JADI CALON KENAPA PERLU BANTU / KERJA? Adakah masa PETUGAS PERCUMA ini tidak ada nilainya? Sikap kekedekutan ini wajib dikikis, jika tidak ia hanya akan MEMPERBODOHKAN sumbangan petugas parti.

Apa yang dimaksubkan di sini adalah persediaan tidak melibatkan kewangan besar; seperti:

* kajian daftar pengundi, demografi, bilangan saluran dan pengundi hantu.
* pengenalan sempadan kawasan.
* kenal-pasti pusat-pusat mengundi dan pencalonan.
* kenali kemudahan asas kawasan seperti kedudukan balai polis, dewan orang ramai, tapak padang, jawatankusa parti tempatan dan rakan parti, persatuan penduduk tempatan, surau, tokong kuil dan lain-lain.
* kenali kegiatan & masalah tempatan seperti tapak dan masa pasar malam / pasar pagi, masalah penduduk tempatan.
* persediaan diri: adakah mulai menyertai kegiatan masyarakat tempatan, perkenalkan diri walaupun belum susuai umum diri sebagai calon, ambil peluang publisiti diri dan sebagainya.

Serentak dengan itu, adakah dorongan dan bimbingan daripada pemimpin berpengalaman disalurkan setiap masa, sebab mungkin ada yang baru kali pertama menjadi calon.

Kesimpulannya: adakah anda sudi melihat "pisang berbuah dua kali seperti 2004"? Tanyalah diri-sendiri: Sikap Tunggu Durian Runtuh akan menjamin kemenangan anda?

Sementara itu, mungkin ada pihak yang akan membantah karangan ini bahawa ia dirasakan terlalu pesimistik dengan harapan pembangkang. Itu mungkin pandangan masing-masing, hakikat tetap hakikat sungguhpun pesersi boleh berbeza-beza.

Semoga yang akan bertanding maju jaya.

No comments: