Thursday, December 07, 2006

Jangan Takut Ambil Tindakan, kata Sultan S’gor
Dec 7, 06 4:48pm Saiz Huruf: (petikan laporan daripada Malaysiakini)
Sultan Selangor mahu semua pihak, termasuk wakil rakyat, yang menyalahgunakan kuasa dan melakukan rasuah dikenakan tindakan tegas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tiada pegawai dan kakitangan awam yang berada di atas undang-undang,

Sultan Selangor mahu pihak yang berwajib tanpa rasa takut mengambil tindakan yang tegas terhadap golongan ini yang melanggar undang-undang tanpa mengira kedudukan, pangkat dan gelaran pihak yang bersalah.

“Beta mahu semua pihak termasuk mereka yang menjadi pengubal undang-undang di Dewan Undangan Negeri mahupun Kerajaan Tempatan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang,” titah baginda di majlis mengadap-pegawai dan kakitangan kerajaan Selangor di Shah Alam semalam. Titah ucapan penuh baginda disiarkan dalam mSTAR Online hari ini.

“Mereka seharusnya menjadi pihak yang menghormati dan mempertahankan undang-undang yang mereka buat dengan nama, bukannya menjadi orang yang pertama melanggarnya.

“Para pegawai dan kakitangan kerajaan perlulah sentiasa menjaga maruah mereka dan integriti diri. Pegawai dan kakitangan kerajaan yang berkhidmat di negeri Selangor perlu benar-benar bersih,” titah baginda

Titah Sultan Selangor lagi, gejala rasuah dan salah gunakuasa perlu dibendung dan ditangani dengan serius demi menjaga nama baik kerajaan dan negeri Selangor.

Jangan tamak

“Kebelakangan ini banyak isu-isu yang berkaitan dengan rasuah telah diperkatakan oleh masyarakat. Rasuah bukan sahaja akan membuat negeri Selangor ini mundur, tetapi juga akan menjadikan pegawai-pegawai dan juga mereka yang bertanggungjawab menjadi tamak, haloba dan mementingkan diri sendiri,” tegas baginda.

Sultan Sharafuddin juga menasihatkan para pegawai dan kakitangan awam mengelakkan gejala keangkuhan kuasa, tetapi sebaliknya hendaklah menggunakan kuasa dan kedudukan dengan penuh rasa amanah dan rendah diri.

“Sikap angkuh bukannya melambangkan kemuliaan tetapi hanya mempamerkan sesuatu yang tidak sesuai dengan taraf seorang pemimpin atau pegawai kerajaan,” titah baginda lagi.

Baginda juga mahu semua pegawai dan kakitangan kerajaan yang berkhidmat di Selangor sentiasa peka dengan masalah kerajaan negeri dan sama-sama berusaha menjayakan program yang diatur bagi menanganinya.

“Di samping itu pegawai dan kakitangan kerajaan hendaklah berkerjasama dan saling membantu antara satu dengan lain untuk mencapai kejayaan yang di harapkan.

“Beta tidak mahu mendengar rungutan di mana terdapat pegawai dan kakitangan kerajaan yang hanya berkerja untuk kepentingan diri sendiri, berpuak-puak, menyeleweng dan menyalah gunakan kuasa yang telah di berikan,” titah baginda lagi.
Sultan Selangor juga menyuarakan kebimbangannya terhadap jurang pendapatan yang semakin melebar antara mereka yang tinggal di bandar dan desa.

Jangan pandang ringan

“Nisbahnya sudah kembali melebar seperti mana sebelum pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Walaupun hanya 10 peratus rakyat beta yang tinggal di luar bandar namun ia tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan ketidakadilan sosial,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin mengingatkan pegawai dan kakitangan kerajaan agar bersikap adil dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Baginda juga menyentuh aspek pelaburan asing dengan menggesa langkah menarik pelaburan asing dan tempatan diperkukuhkan lagi.

“Beta tidak mahu mendengar sebarang rungutan para pelabur tentang masalah birokrasi dan rasuah yang boleh menyebabkan mereka merasa menyesal atau serik untuk melabur di Selangor.

“Sebagai pelaksana dasar, pegawai dan kakitangan kerajaan seharusnya memainkan peranan utama sebagai pemudah cara kepada para pelabur dan bukannya menjadi penghalang kepada aliran masuk pelaburan,” titah Sultan Selangor.

Baginda bertitah, para pegawai dan kakitangan kerajaan harus sedar jika para pelabur menghadapi terlalu banyak masalah di Selangor mereka boleh menanam modal di negara-negara seperti Thailand, China, India atau Vietnam yang kini menjadi tumpuan para pelabur dunia.

“Beta bimbang jika kita meneruskan sikap seperti katak di bawah tempurung maka kita akan ketinggalan dalam persaingan rantau dan global seterusnya menyebabkan negeri Selangor menjadi statik,”titah Sultan Sharafuddin lagi.


Laporan ini adalah selaras dengan apa yang saya nyatakan dalam tulisan sebelum ini dan memang saya amat setuju dengan Taunku Baginda agar 'Pagar Makan Padi' tidak patut berlaku.

No comments: